10/19/2012

Ukhwah...Islamiah....


ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan taufik dan 'inayah-Nya, satu risalah kecil yang membicarakan tentang adab-adab dalam memelihara persaudaraan Islam dapat diterbitkan pada masanya yang sesuai dan bertepatan dengan kehendak semasa.



Sesungguhnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T. telah menetapkan peraturan-peraturan dan garis panduan yang sempurna bukan sahaja sesuai pada sebarang tempat dan masa, malahan bertepatan dengan naluri dan fitrah makhluk manusia ciptaan-Nya. Sebarang percanggahan atau pelanggaran batas-batas yang ditetapkan ini akan mengakibatkan berlakunya kepincangan dan kerosakan kepada kehidupan dan diri manusia itu sendiri.

Oleh itu, peraturan-peraturan Ilahiah yang berlandaskan al-qur'an,hadith ijmak ulama' dan qias mestilah dipegang sekukuh-kukuhnya tanpa sebarang kompromi atau bersyarat. Segala dakwaan,pandangan dan sikap yang jelas bertentangan dengan nas-nas yang sarih mestilah ditolak kerana ia bukan bertunjangkan sumber yang muktabar tetapi bertopengkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi yang keji.

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan panel penulis JAKIM atas kegigihan menyiapkan risalah ini sehingga dapat diterbitkan tepat pada masa yang ditetapkan. Mudah-mudahan risalah ini menjadi panduan yang berguna kepada umat Islam seluruhnya terutama dalam membina perpaduan dan kekuatan ummah yang kini sedang hebat diserang oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.

Perpaduan adalah hasil daripada akhlak yang baik manakala perpecahan pula berpunca daripada akhlak yang buruk. Ini kerana akhlak yang mulia menhasilkan kasih sayang dan permuafakatan manakala akhlak yang buruk menghasilkan sikap benci membenci dan saling pulau memulau antara satu sama lain. Kelebihan akhlak yang mulia adalah jelas dan banyak hadis menyebut mengenainya:

Abu Darda’ r.a meriwayatkan daripada Nabi s.a.w, sabdanya:

Pada hari kiamat kelak, tiada satu perkarapun pada timbangan amal orang mukmin yang lebih berat daripada akhlak yang mulia (khuluqin hasan). -Riwayat at Tirmidhi dan beliau mensahihkannya.

Dalam hadis lain menyebut:

Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi dan paling hampir denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling mulia akhlaknya di kalangan kamu. Manakala orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya dariku pada hari kiamat ialah orang yang buruk akhlaknya di kalangan kamu. -Riwayat Ahmad.

Nabi pernah ditanya tentang perkara yang paling banyak menyebabkan manusia dimasukkan ke syurga. Baginda bersabda yang bermaksud:

Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia. -Riwayat al-Tirmidhi.

Berhubung dengan kecintaan kerana Allah, terdapat hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

Tujuh golongan yang Alah akan naungi mereka di bawah naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya sahaja…
Salah satu golongan tersebut ialah:

Dua orang yangberkasih sayang kerana Allah, mereka berhimpun dan bertemu kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah. -Riwayat Bukhari, Muslim, Malik, al-Tirmidhi dan an-Nasaie.
Dalam sebuah hadis Qudsi menyebut bahawa Allah Taala berfirman:

Aku pasti mengasihi orang yang kasih mengasihi keranaKu. Aku pasti mengasihi orang yang saling membelanjakan hartanya keranaKu dan Aku pasti mengasihi orang yang ziarah menziarahi keranKu. -Riwayat Malik


Semoga kita tergolong dalm golongan orang yang berkhlak dengan semulai-mulia akhlak dan saling mengasihi sesama Muslim kerana Allah Ta’ala. Wallahu A’lam.

Perpaduan adalah asas bagi ajaran Islam kerana ia bukannya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah semata-mata tetapi kita juga diseru supaya mengukuhkan hubungan baik sesama manusia dan mahkluk-mahkluk yang lain. Ini dapat dilihat secara jelas dalam maksud firman Allah s.w.t yang berbunyi:

Yang bermaksud: 

“ Ditimpa kehinaan ke atas mereka walau di mana mereka berada melainkan mereka berpegang teguh dengan agama Allah dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. ” (Surah A-li ‘Imran : Ayat 112) 


Untuk membina perpaduan sesama umat Islam, Allah s.w.t menggambarkan bahawa setiap orang Islam itu bersaudara antara satu sama lain yang mana asas persaudaraan itu bukan sekadar dari hubungan tali persaudaraan keluarga atau satu bangsa tetapi disatukan dengan tingkatan akidah dalam Islam seperti firman Allah s.w.t:

Yang bermaksud : “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara” (Surah Al-Hujurat : Ayat 10) 

Ayat di atas mengambarkan kepada kita bahawa umat Islam mendapat pengiktirafan dari Allah s.w.t sebagai saudara seagama, yang banyak hak yang perlu dipelihara bersama-sama. 

Dalam Al-Quran banyak ayat yang menggalakkan kita sebagai seorang Muslim untuk menghormati saudara sesama Islam, bukan sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur bicara, malah dalam segala aspek ekonomi dan keseimbangan kehidupan sosial juga, meletakkan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. 

Dalam syariah Islam, setiap umat bukan sekadar disuruh untuk melakukan ibadah sembahyang, puasa, haji dan sebagainya sebagai pengabdian kepada Allah s.w.t semata-mata, tetapi digalakkan juga kita melakukan secara berjemaah dan bersatupadu dengan matlamat yang sama iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t. Malah dalam aspek pembinaan masyarakat Islam itu sendiri, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan dan kedudukan sosial mereka. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa belum pernah berlaku penyatuan satu umat yang besar melainkan kejayaan Baginda Rasulullah s.a.w membina ketamadunan umat dalam tempoh yang pendek dan mengabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza, kepada agama Islam. 


Malah belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dan peradaban kehidupan manusia ketika itu, di mana orang dari golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba sahaya sehingga sanggup berkorban nyawa, disebabkan perasaan kasih sayang yang teramat menusuk dalam sanubari mereka, seperti Saidina Abu Bakar Assidik r.a dengan Saidina Bilal bin Rabah r.a. Malah setiap sahabat dapat merasai akan nikmat dari perpaduan serta persaudaraan berteraskan agama Allah. Ini dapat dilihat dari hadis Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi: 

Yang bermaksud: “ Tidak ada kebaikan orang Arab ke atas A’jami (bukan Arab) melainkan yang bertaqwa. ” 

Walaupun persaudaraan merupakan satu lambang keamanan sejagat untuk umat manusia menggembleng pemikiran dan tenaga untuk mengimarahkan dan memakmurkan dunia ini dengan berteraskan konsep tauhid dan ilmu pengetahuan, namun terdapat unsur-unsur dalaman dan luaran yang akan mengagalkan misi umat sebagai khalifah di dunia ini. Unsur-unsur dalaman terdapat dalam diri setiap insan yang mendorong ke arah sangkaan buruk dan cemburu di atas kejayaan saudaranya. Tidak cukup sekadar itu, sikap hasad dan dengki mendorong manusia terus berusaha dengan bersunguh-sunguh untuk memusnahkan kejayaan saudaranya itu. Sifat-sifat seperti ini adalah merupakan satu penyakit umat Islam masa kini yang semakin parah sehingg umat Islam kini menderita dan gagal bersaing denga bangsa lain yang beragama lain. Maka tidak hairanlah terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang melarang kita dari bersifat sedemikian. Sebagai contoh, baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang berbunyi : 

Yang bermaksud : “ Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti mana api memakan daun kering. ” (Hadis Sahih) 

Faktor luaran pula, sebagai contohnya, pelbagai hasutan dan khabar agin yang sengaja diada-adakan agar umat Islam sentiasa bergaduh dan bermusuhan antara satu sama lain, supaya benteng persaudaraan ini ranap dan roboh begitu sahaja. Akhirnya, umat Islam yang mendakwa menganuti agama yang sempurna, tidak lagi dapat membawa apa-apa kesan dan keutuhan kepada umat Islam itu sendiri. Apa yang terjadi ialah satu demi satu, sama ada negara atau bangsa akan tersungkur tunduk patuh kepada orang kafir, sama ada kepada orang Yahudi, Kristian mahupun Komunis. 

Sebenarnya umat Islam hari ini amat mengharapkan mana-mana negara umat Islam yang belum ditimpa kemelut ini menghulurkan bantuan dan memerdekakan mereka dari penjajah-penjajah Barat, yang semakin memeras dan menindas umat dan kesucian Islam. Sudah ramai yang menjadi penuntun sepi di atas penderitaan umat Islam. Kalau bukan orang Islam sendiri yang datang menebus kesucian dan maruah umat Islam, siapa lagi? Oleh itu marilah kita merendahkan diri dan bertekad untuk mengembalikan kekuatan umat Islam yang semakin terhakis dan ingatlah orang Islam itu saudara kita, bukan musuh kita dan kita akan dipersoalkan dihadapan Allah s.w.t di akhirat kelak mengenai tanggungjawab yang telah kita jalankan terhadap saudara seagama kita. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan